Jumaat, 3 Februari 2012

Aurat Wanita

Apakah batasan aurat wanita?

Batasan aurat wanita berbeza mengikut situasi berikut;
1. Aurat bersama suami.
2. Aurat di hadapan lelaki ajnabi
2. Aurat di hadapan mahram
3. Aurat di hadapan wanita lain

Apakah aurat wanita dengan suaminya?

Tidak ada aurat antara suami dan isteri. Harus bagi suami melihat ke seluruh badan isterinya termasuk kemaluannya. Namun melihat kepada kemaluan adalah makruh secara umumnya termasuklah melihat kepada kemaluan sendiri.

Apa maksud lelaki ajnabi? Apakah batasan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi?

Lelaki ajnabi bermaksud lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya). Inilah pandangan jumhur ulamak dan menjadi amalan kebanyakan wanita Islam hari ini.[1] Namun keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah. Dalam keadaan fitnah, keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup tanpa ada sebarang bahagian yang dikecualikan.

Apa dalil bagi aurat di hadapan lelaki ajnabi di atas?

Dalilnya ialah firman Allah;

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir darinya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka. (an-Nur; 31).

Ayat di atas melarang seorang perempuan beriman mendedahkan perhiasan di badannya (kecuali yang zahir darinya). Ayat ini menjadi dalil yang cukup jelas bahawa seorang wanita wajib menutup auratnya di hadapan kaum lelaki ajnabi (iaitu lelaki yang bukan suami atau mahramnya yang dikecualikan Allah dari perintah tersebut yang akan dijelas nanti)

Maksud “kecuali yang zahir darinya” ialah kecuali perhiasan yang terpaksa dizahirkan (yakni terpaksa diperlihatkan) iaitu pakaian yang dipakainya di mana tidak dapat dielakkan dari memperlihatkannya kepada orang lain. Ia juga bermaksud; perhiasan-perhiasan yang berada di bahagian badannya yang diharuskan oleh Syarak untuk mendedahkannya kepada orang lain (yakni tidak wajib ditutup) iaitu bahagian muka dan tangan.

Keharusan mendedahkan muka dan tangan adalah berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan; “Suatu hari Asma’ anak saidina Abu Bakar masuk untuk berjumpa Nabi s.a.w.. Kebetulan ketika itu ia memakai pakaian yang nipis (yang menampakkan bayangan kulitnya). Nabi s.a.w. lalu memalingkan pandangan darinya sambil bersabda (maksudnya): “Wahai Asma’, seorang wanita apabila telah datang haidh (yakni telah sampai umur baligh) tidak harus dilihat dari badannya melainkan ini dan ini sahaja”, sambil baginda menunjukkan kepada muka dan dua tangannya” (HR Imam Abu Daud).[2]

Dalam kenyataan di atas disebutkan “…keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah”. Apa yang dimaksudkan dengan fitnah tersebut?

Fitnah yang dimaksudkan di sini ialah dorongan nafsu dan keinginannya kepada jimak (zina) atau bibit-bibit pendahulu kepadanya. Ia bermula dari melihat dengan syahwat (yakni melihat dengan keinginan kepada seks atau bibit-bibitnya).[3] Jadi, aman dari fitnah bermaksud; aman dari dorongan dan keinginan tersebut.

Jadi, jika seorang wanita itu terlalu cantik dan dengan ia mendedahkan mukanya akan mendorong lelaki yang melihatnya kepada fitnah tersebut, maka wajiblah ia menutup mukanya kerana factor tersebut walaupun mengikut hukum asal; menutup muka tidaklah wajib.

Siapakah mahram bagi seorang wanita? Apakah batasan aurat wanita di hadapan mahramnya?

Mahram seorang wanita ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan.[4] Ia merangkumi;
1. Bapa kandung
2. Bapa mertua
3. Bapa susuan
4. Anak kandung
5. Anak tiri (yakni anak suami)
6. Anak susuan
7. Saudara lelaki kandung
8. Saudara lelaki susuan
9. Anak saudara lelaki
10. Bapa saudara

Di hadapan mahram-mahram di atas, tidak diwajibkan wanita menutup badannya kecuali kawasan antara pusat dan lutut sahaja. Ini adalah pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’e dan Abu Hanifah). Jadi menurut jumhur ulamak; aurat seorang wanita di hadapan mahram-mahramnya hanya antara pusat dan lutut sahaja.

Namun ulama’-ulama’ mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat; hanya bahagian muka, kepala, leher/tengkuk, dua tangan dan dua kaki sahaja yang harus didedahkan di hadapan mahram. Adapun bahagian-bahagian lain, ia tetap menjadi aurat dan wajib ditutup sekalipun di hadapan mahram. Pandangan ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di mana beliau menegaskan; “Bahagian badan wanita yang harus dilihat oleh mahram hanyalah tempat-tempat beradanya perhiasan bathin (dalaman) seperti telinga, rambut, leher, lengan dan betis. Adapun selainnya seperti paha, perut, kemaluan dan punggung, maka tidak harus didedah dan diperlihatkan sekalipun kepada mahram atau wanita lain.[5] Pandangan kedua inilah yang lebih menepati kehormatan seorang wanita berbanding pandangan jumhur tadi.

Apa dalil bagi aurat di hadapan mahram di atas?

Iaitulah firman Allah;

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, saudara-saudara mereka, anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan….”. (31)

Di dalam ayat di atas Allah menegah wanita mendedahkan perhiasan pada tubuh mereka kecuali kepada lelaki-lelaki yang disenaraikan di dalam ayat. Dalam senarai lelaki-lelaki tersebut terdapat mahram-mahram yang kita nyatakan di atas, kecuali bapa saudara dan mahram-mahram kerana susuan sahaja.

Bapa saudara, walaupun tidak ada dalam senarai para lelaki dalam ayat di atas, namun menurut ulamak ia termasuk mahram kerana kedudukannya yang menyamai bapa berdasarkan ‘uruf dan terdapat hadis menyatakan;[6]

عَمُّ الرَّجُلِ صِنْوُ أبيه
“Bapa saudara seseorang adalah satu pokok dengan bapanya”. (Riwayat Imam Muslim).

Adapun mahram-mahram kerana susuan hukum bagi mereka sama seperti hukum mahram kerana nasab tadi kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

يحرم من الرضاع ما يحرم من النسب
“Diharamkan kerana susuan apa yang diharamkan kerana nasab”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Perhiasan tubuh yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah perhiasan yang batin/khafiyy iaitu yang tersembunyi[7] pada badan wanita. Ia adalah sebalik kepada perhiasan zahir yang disebut sebelum ini (iaitu pakaian yang dipakai serta bahagian muka dan dua tangan). Perhiasan yang batin/khafiy ini merujuk kepada perhiasan yang berapa di bahagian tubuh wanita yang wajib ditutup di hadapan lelaki ajnabi tadi (iaitu bahagian selain muka dan tangan). Perhiasan ini merangkumi anting-anting, rantai, gelang kaki atau sebagainya. Ia tidak harus diperlihatkan kecuali kepada suami, mahram dan lelaki-lelaki yang disebut di dalam ayat di atas. Jika perhiasan sudah tidak harus diperlihatkan, apatahlagi hendak memperlihatkan tempat beradanya perhiasan itu iaitu tubuh itu sendiri, sudah tentu lebih diharamkan.

Sebagai kesimpulan, apakah kategori perhiasan yang ada pada badan wanita dan apa hukum mendedahkannya?

Merujuk kepada huraian kita sebelum ini, maka kita akan dapati bahawa perhiasan pada badan wanita itu ada dua jenis;[8]

1. Perhiasan zahir; iaitu pakaian yang dipakai dan perhiasan yang ada di kawasan muka dan tangan (seperti celak, cincin, inai dan sebagainya). Perhiasan zahir ini harus diperlihatkan (atau didedahkan) kepada orang lain termasuk lelaki ajnabi, namun dengan syarat aman dari fitnah.

2. Perhiasan batin/khafiy (tersembunyi); iaitu perhiasan yang berada di kawasan selain muka dan tangan seperti anting-anting, rantai, gelang kaki dan sebagainya; tidak harus diperlihatkan kecuali kepada suami, mahram dan lelaki-lelaki yang disebut oleh Allah di dalam ayat 31 (dari surah an-Nur) di atas.

Jadi, hukum perhiasan adalah mengikut hukum tempat beradanya perhiasan itu. Jika ia berada di kawasan badan yang harus didedahkan (iaitu muka dan dua tangan), maka hukum mendedahkan perhiasan itu juga harus. Jika ia berada di kawasan badan yang haram didedahkan, maka hukum mendedahkan perhiasan itu juga adalah haram.

Selain di hadapan suami dan mahram, di hadapan siapa lagi wanita diberi kelonggaran untuk memperlihatkan perhiasan khafiynya?

1. Sama-sama kaum wanita
2. Di hadapan hamba-hamba mereka
3. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
4. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.

Di hadapan mereka harus seorang wanita memperlihatkan perhiasan khafiynya. Oleh itu, dibenarkan ia membuka tudung di hadapan mereka dengan syarat aman dari fitnah. Keharusan ini adalah adalah berdasarkan ayat 31 (dari surah an-Nur) tadi.

Apakah batasan aurat sesama wanita?

1. Aurat di hadapan wanita Islam.

Aurat seorang wanita di hadapan wanita Islam adalah menyamai batasan auratnya di hadapan mahramnya, iaitu;

a) Menurut jumhur ulamak; antara pusat dan lutut. Jadi menurut pandangan jumhur ini, harus seorang wanita mendedahkan mana-mana bahagian dari badannya di hadapan wanita Islam kecuali bahagian antara pusat dan lutut sahaja.

b) Menurut sebahagian ulamak; seluruh badannya adalah aurat kecuali kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betis. Jadi menurut pandangan ini, harus seorang wanita mendedahkan kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betisnya di hadapan wanita Islam. Bahagian lain tidak harus didedahkan kerana ia masih tetap aurat walaupun di hadapan wanita Islam.[9] Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana dinyatakan tadi (sila baca kembali; aurat wanita di hadapan mahramnya).

2. Aurat di hadapan wanita kafir

Terdapat banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir;

a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie); aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab Maliki; aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan. Menurut Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.

c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam tadi iaitu antara pusat dan lutut (mengikut pandangan jumhur ulamak). Pandangan ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki. Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.[10]

Ada di kalangan ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak;

a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.[11]

Ada sebahagian orang hari ini mempertikai kewajipan memakai tudung kepala? Menurut mereka; tidak ada dalil bagi kewajipan bertudung. Benarkan dakwaan mereka?

Tidak benar. Kewajipan bertudung sabit dengan dalil al-Quran, as-Sunnah dan disepakati oleh sekelian ulamak (ijmak).

1. Di dalam al-Quran, perintah bertudung dengan jelas dapat difahami dari firman Allah dalam surah an-Nur tadi;

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)
Al-Khumur dalam ayat di atas adalah kata jama’ (plural) bagi kalimah al-Khimar yang memberi erti tudung atau kain penutup kepala. Pengertian ini telah disepakati oleh para ulama’ tafsir dan juga kamus-kamus Bahasa Arab yang muktabar. Syeikh Nasiruddin al-Bani dalam kitabnya “Hijab al-Mar’ah al-Muslimah” (Pakaian wanita Islam) menyebutkan bahawa makna tersebut tidak ada sebarang khilaf di kalangan ulama’ (yakni semua ulama’ sepakat memberi makna al-khimar sebagai tudung atau kain penutup kepala).[12] Menurut Imam Thabari dalam tafsirnya iaitu Tafsir at-Thabari, ayat tersebut memberi pengertian; “Hendaklah wanita-wanita beriman melabuhkan tudung-tudung mereka hingga ke dada mereka untuk menutup dengannya rambut, leher serta anting-anting mereka”. (Tafsir at-Thabari, Ibnu Jarir at-Thabari, surah an-Nur, ayat 31)

2. Dalil dari as-Sunnah ialah;

a) Sabda Nabi s.a.w. kepada Asma’ dalam hadis yang telah dikemukakan sebelum ini; “Wahai Asma’, seorang wanita apabila telah datang haidh (yakni telah sampai umur baligh) tidak harus dilihat dari badannya melainkan ini dan ini sahaja ”, sambil baginda menunjukkan kepada muka dan dua tangannya” (Riwayat Imam Abu Daud). Hadis jelas menunjukkan bahawa kepala adalah aurat dan wajib ditutup di mana Rasulullah s.a.w. hanya mengisyaratkan kepada muka dan tangan sahaja ketika menjelaskan bahagian badan yang harus didedahkan.

b) Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Aisyah r.a. menceritakan; “Semoga Allah mengurniakan rahmat/kasih sayang kepada wanita-wanita Muhajirin yang awal. Tatkala turun ayat “وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ” (yang bermaksud: hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung mereka hingga ke dada-dada mereka), mereka memotong kain-kain bulu mereka, lalu mereka bertudung dengannya”. (Rujuk;Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nur, ayat 31)

c) Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh” (Riwayat Imam Muslim).[13]

3. Dari penelitian kita terhadap pendapat-pendapat ulama’ dari pelbagai mazhab, kita dapati tidak ada ulama’ yang mengecualikan kepala atau rambut dari aurat. Mereka hanya berikhtilaf (berbeza pendapat) pada muka, tangan, lengan dan kaki; ada ulama’ menyatakan anggota-anggota ini termasuk dalam aurat yang wajib ditutup dan ada ulama’ yang menyatakan tidak. Tentang kepala dan rambut, semua ulamak sepakat menyatakan bahawa ia adalah anggota yang wajib ditutup. Jadi, suara-suara sumbang yang mengajak wanita membuka tudung dan mendedahkan kepala dan rambut mereka di khalayak ramai, suara tersebut jelas bercanggah dengan ijma’ ulama’ di samping menyalahi nas al-Quran dan as-Sunnah yang telah kita bentangkan tadi.

Sejauhmana keharusan lelaki melihat kepada wanita?

Harus lelaki memandang wanita tetapi dengan tiga syarat;

1. Melihat kepada tempat bukan aurat (iaitu muka dan tangan sahaja). Adapun kepada aurat dilarang sama sekali sekalipun tanpa syahwat.

2. Melihat tanpa disertai syahwat. Jika dengan syahwat, haram melihatnya sekalipun pada tempat yang bukan aurat.

3. Tidak dikhuatiri mendatangkan fitnah.

Larangan melihat kepada aurat berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
“Janganlah lelaki melihat kepada aurat lelaki lain, janganlah wanita melihat aurat wanita lain. Jangan lelaki sesama lelaki berada di dalam satu pakaian dan janganlah wanita bersama wanita berada dalam satu pakaian” (HR Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri r.a.)

Apa hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan?

1. Jika hubungan mereka adalah suami-isteri, harus mereka saling bersentuhan tanpa ada had dan batasan, yakni harus bagi suami atau isteri menyentuh mana-mana bahagian dari badan pasangan masing-masing tanpa sebarang pengecualian.

2. Jika hubungan mereka adalah sesama mahram; harus mereka bersentuhan –sama ada bersalaman, memegang atau sebagainya-, akan tetapi khusus bagi kawasan yang bukan aurat sahaja, iaitu kawasan yang harus dilihat oleh mahram. Adapun kawasan aurat, tidak harus menyentuhnya sekalipun sesama mahram. Kaedahnya; “Bahagian yang tidak harus dilihat, maka menyentuhnya juga tidak harus. Bahagian yang harus dilihat, maka menyentuhnya juga harus (dengan syarat tanpa syahwat dan tidak mendatangkan fitnah)”.[14]

3. Jika mereka adalah ajnabi (tiada hubungan sebagai suami-isteri atau hubungan mahram); tidak harus sama sekali bersentuhan termasuk bersalaman.

Apa dalil larangan bersentuhan antara lelaki dan wanita yang ajnabi? [15]

1. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;

وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ وَمَا بَايَعَهُنَّ إِلَّا بِقَوْلِهِ
“Demi Allah, tidak pernah sekalipun tangan Nabi s.a.w. menyentuh tangan wanita semasa berbai’ah. Baginda tidak membai’ah mereka melainkan dengan ucapannya sahaja” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Sekiranya antara lelaki dan wanita ajnabi boleh bersentuhan, sudah tentu Nabi s.a.w. akan membai’ah kaum wanita dengan berjabat tangan dengan mereka kerana itu yang biasa dilakukan oleh Nabi tatkala berbai’ah dengan kaum lelaki.

2. Dari Ma’qal bin Yasar r.a.; bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

“Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216).

Benarkah ada ulamak yang mengharuskan lelaki bersalaman dengan wanita yang telah tua yang tiada lagi syahwat?

Ya, iaitu ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Mereka berpandangan; harus seorang lelaki bersalaman dengan seorang wanita tua yang tidak lagi ada syahwat/keinginan kepadanya. Begitu juga, harus seorang wanita bersalaman dengan lelaki tua dengan syarat aman dari fitnah (yakni aman dari dorongan nafsu sama ada dari dirinya atau dari diri lelaki tua itu). Jika tidak aman dari fitnah, tidak harus bersalaman.

Namun menurut jumhur ulamak; haram bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi sama ada muda atau tua, sama ada masih ada syahwat atau tiada syahwat kerana dalil-dalil tadi menyebutkan pengharaman secara umum tanpa adanya pengecualian.[16]

Nota Hujung;

[1] Pandangan jumhur ini merangkumi mazhab Hanafi dan Maliki dan salah satu qaul dari Imam Syafi’ie. Ada ulamak (iaitu Imam Ahmad dan qaul yang asah dari Imam Syafi’ie) berpandangan; keseluruhan tubuh wanita adalah aurat tanpa kecuali. Mengikut pandangan ini, wanita wajib menutup keseluruhan tubuhnya termasuk muka dan tangan. Menurut pandangan ini; pemakaian niqab adalah wajib. Dalam bab aurat wanita ini, pandangan yang paling luas ialah Imam Abu Hanifah di mana menurut beliau; kaki juga tidak aurat. (Menurut Imam Abu Yusuf –anak murid Imam Abu Hanifah-; lengan juga tidak aurat). Jadi, menurut pandangan ini; keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup kecuali tiga bahagian iaitu; muka, tangan dan kaki. (Rujuk; Tafsir surah an-Nur, hlm. 151).
[2] Hadis ini walaupun dikatakan dhaif oleh sebahagian ulama’, namun menurut pakar penilai hadis zaman ini iaitu Syeikh Nasiruddin al-Bani; hadis ini telah dikuatkan oleh banyak hadis-hadis yang lain yang memberi makna serupa. Oleh itu, menurut beliau hadis ini tidak kurang martabatnya dari hadis hasan. Kerana itu, ia sah untuk dibuat hujjah. Hal yang serupa juga disebut oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya “al-Halal wa al-Haram Fil Islam”, halaman 152. Untuk lebih terperinci, lihat taklik Syeikh Nasiruddin mengenai hadis ini dalam nota kaki kitabnya ‘Hijab al-Mar-ah al-Muslimah fi al-Kitab wa as-Sunnah, halaman 24-25).
[3] Fiqh al-Albisah dan az-Zinah, hlm. 78-79.
[4] Fiqh al-Usrah, Hassan Ayyub, hlm. 19, Syarah Soheh Muslim, juz. 9, kitab al-Hajj. Fiqh al-Albisah dan Az-Zinah, hlm. 86.
[5] Al-Halal wa al-Haram, hlm. 156. Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 87.
[6] Al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 156. (Berkata Imam Nawawi;
صِنْوُ أَبِيهِ: أي مثل أبيه وفيه تعظيم حق العم
(Lihat; Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, jil. 9, kitab az-Zakah).
[7] Tafsir al-Wasit, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
[8] Tafsir al-Wasit, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
[9] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 89.
[10] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 90.
[11] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 143-144.
[12] Lihat nota kaki, m.s. 33.
[13] Berkata Dr. Yusuf al-Qaradhawi; “Rasulullah s.a.w. melalui pandangan ghaibnya seolah-olah melihat kepada zaman ini, zaman di mana terdapat kedai-kedai atau salun-salun khas untuk menggubah rambut wanita, mencantikannya dan mempelbagaikan fesyen-fesyennya. Biasanya kedai-kedai atau salun-salun ini diselia oleh lelaki-lelaki yang melakukan kerja mereka bagi mendapat upah atau bayaran. Bukan sekadar itu, malah ramai wanita yang tidak memadai dengan rambutnya yang sedia ada yang dianugerahkan Allah, maka mereka membeli pula rambut-rambut palsu. Rambut palsu ini mereka sambungkan dengan rambut asal mereka untuk kelihatan lebih ikal, bersinar dan cantik, supaya dengan itu diri mereka menjadi lebih menarik dan menggoda…”. (al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, halaman 84-85)
[14] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 88-89.
Syarat aman dari fitnah itu perlu diberi perhatian terutama di zaman hari ini. Antara mahram yang masih muda terutamanya (seperti antara adik dan kakak, abang dan adik perempuan dan sebagainya) hendaklah lebih berjaga-jaga kerana sentuhan yang berlebihan mungkin membawa bangkitnya nafsu. Apatahlagi pada masa kini di mana wujud banyak factor pendorong nafsu yang boleh melarikan seseorang dari fitrah asalnya. Lagipun banyak kes sumbang mahram dilaporkan. Kerana langkah berjaga-jaga itulah Imam Ahmad memakruhkan seorang lelaki melihat betis ibunya dan juga dada ibunya kerana khuatir mendorong kepada syahwat. Maka yang terbaik ialah seorang lelaki itu tidak masuk ke dalam bilik ibu, anak perempuan dan kakak atau adik perempuannya kecuali setelah keizinan mereka. Adapun untuk masuk ke dalam bilik isterinya cukup dengan memberi salam sahaja, tanpa perlu meminta izin. (Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 89 (halaman muka dan juga nota kaki no. 1)).
[15] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 107.
[16] Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 108.

Aurat Lelaki

Apakah batasan aurat lelaki?

Batasan yang disepakati oleh ulamak ialah dua kemaluan iaitu depan (bahagian zakar) dan belakang (bahagian punggung). Wajib lelaki menutup dua bahagian tersebut dari diperlihatkan kepada orang lain. Adapun yang selain dari itu, maka para ulamak berbeza pandangan;

Pandangan pertama; aurat lelaki ialah kawasan di antara pusat dan lutut. Jadi berdasarkan pandangan ini, paha adalah aurat dan wajib ditutup. Dalil mereka hadis dari Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;

أما علمت أنَّ الفخذ عورةٌ
“Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Malik)

Pandangan pertama ini merupakan pandangan jumhur ulamak.

Pandangan kedua; aurat lelaki hanyalah dua kemaluannya sahaja iaitu depan dan belakang. Paha tidaklah aurat. Mereka berdalilkan beberapa hadis antaranya hadis Anas r.a. yang menceritakan;

أن النبي صلى اللَّه عليه وسلم يوم خيبر حسر الإزار عن فخذه حتى إني لأنظر إلى بياض فخذه
“Pada hari peperangan Khaibar, terselak kain dari paha Nabi s.a.w. hingga aku dapat melihat putihnya paha baginda” (HR Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari).

Pandangan kedua ini adalah pandangan mazhab az-Zahiri dan sebahagian ulamak mazhab Maliki.

Menurut Imam al-Bukhari; hadis Anas di atas lebih kuat sanadnya, namun hadis Jarhad adalah lebih berhati-hati. Jadi sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat), lebih baik kita berpegang dengan pandangan jumhur kerana kita dapat lari dari khilaf dan keraguan. Sabda Nabi s.a.w.; “Tinggallah yang meragukan kamu untuk berpindah kepada apa yang tidak meragukan kamu” (HR Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).[1]

Adakah pusat dan lutut termasuk aurat dan wajib ditutup?

Jumhur ulamak (merangkumi Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berpandangan; pusat dan lutut tidaklah aurat, namun wajib ditutup sebahagian darinya untuk menyempurnakan penutupan kawasan aurat di atas (yakni kawasan antara pusat dan lutut) kerana sesuatu yang tidak sempurna yang wajib kecuali dengannya maka ia turut menjadi wajib. Maksud wajib ditutup sebahagiannya ialah; menutup sebahagian pusat sebelah bawah dan sebahagian lutut sebelah atas. [2]

Menurut mazhab Imam Abu Hanifah;[3] Pusat tidaklah aurat[4], akan tetapi lutut adalah aurat dan wajib ditutup.[5]

Adakah harus seorang lelaki melihat aurat lelaki lain? Bagaimana pula dengan menyentuhnya?

Tidak harus. Tidak harus seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki lain dan menyentuhnya sekalipun tanpa syahwat kecuali ketika darurat. Adapun selain aurat, harus melihatnya dan harus menyentuhnya (dengan syarat tanpa syahwat). Setiap yang harus dilihat, maka harus disentuh kerana ia bukan aurat.[6]

Sejauhmana seorang wanita harus melihat kepada lelaki dan menyentuh atau bersalaman dengannya?

1) Jika suaminya; harus ia melihat ke seluruh badan suaminya kerana tiada aurat antara suami isteri. Namun dimakruhkan melihat kemaluan. Begitu juga, harus ia bersalaman dan menyentuh suaminya tanpa sebarang had atau batasan.

2) Jika mahramnya; harus ia melihat kepadanya di kawasan bukan aurat (yakni kawasan selain antara pusat dan lutut). Dan harus ia bersalaman dan menyentuh mahramnya (di luar dari kawasan aurat) dengan syarat tanpa syahwat.

3) Jika bukan mahramnya (yakni lelaki ajnabi); harus ia melihat kepadanya di kawasan bukan aurat dengan syarat tidak menimbulkan fitnah dan tidak melihat dengan syahwat.[7] Namun diharamkan bersalaman dengannya dan menyentuhnya sekalipun tanpa syahwat.

Kesimpulan; terhadap suami; harus ia melihat dan menyentuhnya tanpa sebarang batasan. Terhadap mahramnya; harus ia melihatnya dan menyentuhnya tetapi di luar dari kawasan aurat (iaitu kawasan antara pusat dan lutut). Adapun terhadap lelaki ajnabi; harus ia melihatnya tetapi tidak harus menyentuhnya. Terhadap suami; harus ia melihat dan menyentuh dengan syahwat. Adapun lelaki lain (sama ada mahram atau ajnabi), tidak harus ia melihat dan menyentuhnya dengan syahwat.[8]

Apa dalil keharusan wanita melihat kepada lelaki (jika tanpa syahwat)?

1. Terdapat hadis di dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim yang menceritakan; “Pada suatu hari raya beberapa lelaki Habsyah bermain di dalam masjid dengan lembing-lembing mereka. Nabi menyaksikan mereka. ‘Aisyah juga turut menyaksikan mereka dengan berdiri di belakang Nabi” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad). Sekiranya wanita tidak harus melihat kepada lelaki ajnabi, sudah tentu Nabi akan menghalang ‘Aisyah memandang lelaki-lelaki Habsyah yang sedang bermain itu.

2. Jabir r.a. menceritakan; “Aku menghadiri majlis solat hari raya bersama Nabi s.a.w.. Baginda memulakan dengan menunaikan solat -sebelum menyampaikan khutbah- tanpa didahuli azan atau iqamah. Kemudian (setelah solat), baginda bangun dengan bersandar pada Bilal dan (menyampai khutbah) dengan menyuruh bertakwa kepada Allah dan mentaatinya serta memberi peringatan kepada mereka. Kemudian baginda pergi kepada kaum wanita –dengan diiringi oleh Bilal- dan menyampaikan pula peringatan kepada kaum wanita…” (Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan an-Nasai). Kita perhatikan dalam hadis ini; Nabi s.a.w. mengajak Bilal bersamanya semasa menyampaikan peringatan di hadapan kaum wanita. Sudah tentu Bilal akan dilihat oleh kaum wanita. Jika wanita tidak harus secara mutlaknya melihat kepada lelaki ajnabi, sudah tentu Nabi tidak akan membawa Bilal bersamanya.[9]

Apa dalil diharamkan wanita menyentuh lelaki ajnabi (sekalipun tanpa syahwat)?[10]

1. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;

وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ وَمَا بَايَعَهُنَّ إِلَّا بِقَوْلِهِ
“Demi Allah, tidak pernah sekalipun tangan Nabi s.a.w. menyentuh tangan wanita semasa berbai’ah. Baginda tidak membai’ah mereka melainkan dengan ucapannya sahaja” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Sekiranya seorang wanita harus menyentuh seorang lelaki ajnabi sudah tentu Nabi akan membai’ah para wanita dengan berjabat tangan dengan mereka sebagaimana yang baginda lakukan dengan kaum lelaki.

2. Dari Ma’qal bin Yasar r.a.; bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

“Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216).

Benarkah ada ulamak yang mengharuskan wanita bersalaman dengan lelaki ajnabi jika lelaki itu telah tua?

Ya, iaitu ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Mereka berpandangan; harus seorang wanita berjabat tangan atau bersalaman dengan lelaki yang telah tua dengan syarat aman dari fitnah (yakni aman dari dorongan nafsu sama ada dari dirinya atau dari diri lelaki tua itu). Jika tidak aman dari fitnah, tidak harus bersalaman.

Namun menurut jumhur ulamak; haram wanita bersalaman dengan lelaki ajnabi sama ada ia muda atau tua, dengan syahwat atau tanpa syahwat.[11]

Apa yang dimaksudkan dengan “syahwat” dalam ungkapan-ungkapan kita sebelum ini?

Iaitu keinginan hati kepada jimak atau bibit-bibit pendahulu kepadanya. Melihat dengan syahwat ialah melihat dengan merasai kelazatan/keseronokan atau hati dan fikiran terkesan dengan kecantikan perkara yang dilihat.[12]

Apa yang dimaksudkan dengan “aman dari fitnah” dalam ungkapan-ungkapan kita tadi?

Iaitu dorongan nafsu dan keinginannya kepada jimak (zina) atau bibit-bibit pendahulu kepadanya.[13]

Apakah batasan aurat lelaki di dalam solat?

Batasan aurat lelaki di dalam solat sama seperti di luar solat iaitu antara pusat dan lutut mengikut pandangan jumhur ulamak. Menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijmak ulamak. Tidak harus seseorang mengerjakan solat dalam keadaan telanjang sedangkan ia mempunyai pakaian untuk menutup aurat dan solatnya adalah batal.

Apakah hukum lelaki mengerjakan solat tanpa berbaju?

Terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. menyebutkan;

لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْواحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ مِنْهُ شَيْء
“Janganlah sesiapa dari kamu mengerjakan solat dengan satu pakaian sahaja di mana tidak ada di atas bahunya satu pakaian pun” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut mazhab Hanbali dan Hanafi; tegahan hadis di atas menunjukkan kepada pengharaman. Jadi menurut pandangan ini; wajib ketika mengerjakan solat kita menutup atas badan kita dengan sebarang kain sekalipun nipis sekadar tidak menampakkan warna kulit.

Namun mazhab Syafi’ie dan Malik berpandangan; larangan dalam hadis di atas hanyalah larangan makruh sahaja, tidak haram. Jadi, mengikut pandangan ini; kita disunatkan memakai baju atau menutup bahagian atas badan kita ketika solat dan jika kita tidak melakukannya tidaklah sampai berdosa atau sampai membatalkan solat asalkan kita telah menutup aurat yang wajib (iaitu dari pusat ke lutut). Dalil pandangan kedua ini ialah; hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah harus sesiapa dari kami menunaikan solat dengan hanya satu pakaian sahaja?’. Jawab Nabi s.a.w.;

أَوَ كُلُّكُمْ يَجِدُ ثَوْبَيْنِ
“Adakah ke semua kamu memiliki dua pakaian?”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberi pengertian; tidak semua orang memiliki dua pakaian. Jadi jika diwajibkannya sudah tentu akan menyukarkan orang yang tidak mampu untuk menunaikan solat. Berkata Imam an-Nawawi; hadis ini menunjukkan keharusan mengerjakan solat dengan memakai satu pakaian sahaja. Namun para ulamak sepakat bahawa; memakai dua pakaian adalah paling baik.[14]

Nota Hujung;


[1] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 28.
[2] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 22.
[3] Pandangan ini juga menjadi pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie. Namun yang rajah dalam mazhab ialah pandangan pertama (Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 22).
[4] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 25.
[5] Para ulamak sepakat bahawa pusat tidak aurat (Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 26).
[6] Ibid, hlm. 28.
[7] Para ulamak telah sepakat bahawa haram seorang wanita melihat lelaki ajnabi dengan syahwat. Adapun melihat tanpa syahwat, para ulamak sebenarnya berbeza pandangan;
Pandangan pertama; harus wanita melihat lelaki di kawasan bukan auratnya selagi tidak menimbulkan fitnah dan tidak melihat dengan syahwat. Pandangan ini merupakan mazhab Abu Hanifah, mazhab Hanbali dan salah satu pandangan dari Imam Syafi’ie (yang ditashihkan oleh Imam ar-Rafi’ie).
Pandangan kedua; wanita harus melihat lelaki ajnabi kepada wajah, leher, dua tangan dan dua kakinya sahaja dengan syarat tidak dikhuatiri menimbulkan syahwat/kelazatan. Tidak harus ia melihat kepada dada, belakang, rusuk dan betisnya sekalipun tanpa syahwat. Ini adalah pandangan Imam Malik.
Pandangan ketiga; hukum wanita memandang lelaki sama dengan hukum lelaki memandang wanita iaitu tidak harus secara mutlaknya sekalipun tanpa syahwat, yakni wajib lelaki menjaga matanya dari melihat wanita dan wajib wanita menjaga matanya dari melihat lelaki. Ini merupakan salah satu pandangan Imam Syafi’ie (yang ditashihkan oleh Imam Nawawi) dan juga salah satu dari pandangan Imam Ahmad.
(Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 28)
Jadi, pandangan yang kita kemukakan di atas adalah pandangan pertama yang merupakan pandangan jumhur ulamak.
[8] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 135.
[9] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 135. al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 30.
[10] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 107.
[11] Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 108.
[12] Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 78-79.
[13] Fiqh al-Albisah dan az-Zinah, hlm. 78-79.
[14] Syarah Soheh Muslim, Juz. 4, Kitab as-Solah, bab as-Solah Fi Tsaubin Wahidin…

PUASA (NIAT)

 

Apakah rukun-rukun puasa?

Rukun puasa ada dua sahaja;
1. Berniat puasa
2. Menjaga dari perkara-perkara yang membatalkan puasa

Apa makna berniat puasa?

Niat puasa bermaksud mengqasadkan puasa iaitu berazam di dalam hati untuk melakukan puasa.

Bilakah masanya kita perlu berniat puasa?

Bagi puasa Ramadhan dan puasa-puasa wajib yang lain (iaitu puasa nazar dan kaffarah), disyaratkan niat dilakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang tidak meniatkan puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tiadalah puasa baginya” (HR Imam Daruqutni dan Baihaqi dari Aisyah r.a.).

Bagi puasa sunat pula, tidak disyaratkan melakukan niat pada waktu malam. Harus berniat pada siang hari asalkan sebelum tergelincir matahari dari tengah langit (yakni sebelum masuk waktu solat zohor) dan sebelum melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa seperti makan, bersetubuh dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah berniat puasa sunat di siang hari sebagaimana diceritakan oleh Aishah r.a.; suatu hari Nabi s.a.w. bertanya kepadanya; “Apakah ada pada kamu makanan untuk pagi ini?”. Jawab Aishah; “Tidak ada”. Lantas Nabi berkata; “Jika begitu, aku berpuasa hari ini” (HR Imam ad-Daruqutni)

Adakah perlu menentukan jenis puasa di dalam niat?

Bagi puasa wajib, wajib ditentukan (dita’yinkan) di dalam hati jenis puasa yang akan dilakukan besok hari sama ada puasa Ramadhan, Nazar atau Kaffarah. Jika diniatkan semata-mata puasa (tanpa menentukan jenisnya) tidak sah niat puasa itu.

Bagi puasa sunat, tidak diwajibkan menentukan jenis puasa di dalam niat untuk mensahkan puasa, namun untuk kesempurnaan puasa disyaratkan menentukannya khusus bagi bagi puasa-puasa sunat yang berwaktu (seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa ‘Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal dan sebagai) dan juga bersebab (seperti puasa minta hujan). Maka bagi puasa-puasa yang berwaktu dan bersebab itu supaya ia mendapat pahala yang sempurna, hendaklah ditentukan jenis puasa di dalam niat. Adapun puasa-puasa sunat yang mutlak (yakni yang tidak berwaktu dan bersebab), memadai berniat puasa sahaja tanpa perlu menentukan jenisnya.

Adakah niat puasa Ramadhan wajib di ulang setiap malam? Adakah harus berniat untuk sebulan sekaligus?

Mengikut pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam. Tidak memadai niat sekaligus untuk keseluruhan bulan Ramadhan. Namun mengikut mazhab Imam Malik; harus berniat puasa untuk sebulan sekaligus iaitu pada malam pertama Ramadhan.

Menurut mazhab Syafi’ie; digalakkan berniat puasa sebulan sekaligus itu tetapi bukanlah untuk mengelak dari berniat pada setiap malam. Ia hanya sebagai langkah berhati-hati jika ditakdirkan terlupa niat pada mana-mana malam dari Ramadhan. Dengan adanya niat sekaligus itu, dapatlah dielakkan dari terbatal puasa kerana terlupa itu iaitu dengan bertaklid kepada mazhab yang mengharuskan niat sekaligus itu. Kesimpulannya, menurut mazhab Syafi’ie; niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam. Adapun niat puasa sekaligus itu hanyalah sebagai langkah berhati-hati.

Apa hukum melafazkan niat dengan lidah?

Tempat niat adalah dalam hati. Jadi melafazkan niat dengan lidah tidaklah menjadi syarat sahnya niat. Dalam mazhab Syafi’ie; melafazkan niat dengan lidah hukumnya sunat kerana ia membantu menghadirkan niat di dalam hati. Contoh lafaz niat puasa Ramadhan ialah;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَاْنَ هَذِهِ السَّنَةِ لَلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berpuasa pada besok hari bagi menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.

Kalau seorang bangun bersahur, apakah memadai untuk dikira sebagai niat?

Ya, dengan syarat terdetik dalam hatinya bahawa tujuannya bersahur itu adalah untuk berpuasa Ramadhan pada besoknya. Ini kerana kebiasaannya perbuatan bangun bersahur itu lahir dari qashad (cita-cita/keazaman) untuk mengerjakan puasa.

BERSUCI (WUDHUK)

Apakah hukum mengambil wudhuk?

Wudhuk adalah wajib setiap kali hendak mengerjakan solat termasuklah solat jenazah. Tidak sah solat tanpa wudhuk. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad).

Selain untuk mengerjakan solat, wudhuk juga diwajibkan untuk melakukan perkara berikut;
1. Melakukan sujud; sama ada sujud tilawah atau sujud syukur (iaitu mengikut jumhur ulamak. Adapun menurut Imam Ibnu Hazim; tidak disyaratkan wudhuk untuk melakukan sujud, yakni harus sujud tanpa wudhuk.
2. Mengerjakan Tawaf (mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Hanafi, tidak disyaratkan wudhu, yakni; sah tawaf tanpa wudhuk).
3. Memegang/ menyentuh, membawa atau memikul mushaf al-Quran (iaitu mengikut pandangan jumhur ulamak. Ada ulamak tidak mewajibkannya, antaranya Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi).
4. Menjadi khatib untuk solat jumaat (pada pandangan mazhab Syafi’ie).

Apakah kelebihan wudhuk?

Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa mengambil wudhuk, lalu ia memperelokkan wudhuknya (yakni mengambil wudhuk dengan sempurna), akan gugurlah dosa-dosa dari tubuhnya termasuklah dosa dari celah-celah kukunya” (Riwayat Imam Muslim dari Usman bin ‘Affan r.a.).

Apakah syarat-syarat sah wudhuk?

1. Hendaklah air yang digunakan untuk mengambil wudhuk adalah air yang sah digunakan untuk bersuci iaitu air mutlak (rujuk penjelasan tentang air mutlak dalam tajuk yang lalu).

2. Tidak ada penghalang yang menghalang sampainya air ke anggota seperti cat, varnis dan sebagainya. Tidak sah wudhuk jika pada anggota wudhuk terdapat bahan yang menghalang air dari mengenai kulit atau rambut. Wanita yang mengecat kukunya, wajib menaggalkannya sebelum mengambil wudhuk. Jika tidak, wudhuknya tidak sah.

3. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan wudhuk ketika sedang mengambil wudhuk seperti kentut atau sebagainya. Jika seorang terkentut ketika sedang mengambil wudhuk, wajib ia mengulangi semula wudhuknya dari awal. Namun dikecualikan syarat ini bagi orang-orang yang berkeuzuran seperti wanita yang istihadhah, orang yang menghadapi sulasul-baul (kencing tak putus) dan orang yang tidak terkawal kentutnya. Seorang yang menghadapi sulasul-baul sebagai contohnya, jika sedang mengambil wudhuk air kencing menitis keluar dari kemaluannya, tidak perlu ia mengulangi wudhuknya kerana ia berkeuzuran.

4. Telah masuk waktu solat. Syarat ini khusus bagi orang yang berkeuzuran seperti wanita yang istihadhah, orang yang menghadapi sulasul-baul (kencing tak putus) dan orang yang sentiasa terkentut tadi. Mereka ini tidak harus mengambil wudhuk untuk menunaikan solat fardhu melainkan setelah masuk waktu kerana toharah mereka adalah toharah dharurat (terpaksa), maka tidak harus sebelum tibanya waktu perlu (وقت الحاجة).

Apakah perbuatan-perbuatan rukun semasa mengambil wudhuk?

Para ulamak berbeza pandangan dalam menghitung perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun dalam wudhuk. Ada mazhab menyatakan rukun wudhuk ada enam, ada yang menyatakannya tujuh dan ada yang empat sahaja. Namun mereka tidak berbeza pada empat perbuatan iaitu;

1. Membasuh muka
2. Membasuh dua tangan hingga siku
3. Menyapu kepala
4. Membasuh kaki hingga buku lali

Keempat-empat perbuatan di atas disepakati oleh sekelian ulamak sebagai rukun wudhuk iaitu wajib dilakukan semasa mengambil wudhuk. Ini kerana keempat-empat perbuatan ini terkandung dalam firman Allah tentang wudhuk (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka ambillah wudhuk, iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”. (Surah al-Maidah, ayat 6).

Selain dari empat di atas, perbuatan-perbuatan lain yang menurut sebahagian ulamak di anggap rukun ialah;

a) Niat; niat bermaksud mendetikkan di dalam hati keinginan untuk melakukan sesuatu amalan kerana Allah Taala. Mengikut pandangan Imam Syafiie dan Imam Ahmad, niat adalah wajib semasa mengambil wudhuk. Bagi mazhab Syafi’ie, niat mengambil wudhuk wajib dihadirkan ketika mula membasuh anggota wudhuk yang wajib (iaitu muka). Bagi mazhab Imam Ahmad pula, harus berniat sebelum memulakan wudhuk. Imam Abu Hanifah berpandangan; niat adalah sunat sahaja, tidak wajib.

2. Membaca Bismillah; menurut Imam Ahmad, membaca Bismillah adalah wajib semasa mengambil wudhuk. Adapun ulamak-ulamak yang lain –termasuk mazhab Syafi’ie- mereka mensunatkannya sahaja.

3. Muwalat; iaitu membasuh anggota demi anggota tanpa diselangi di antaranya dengan berhenti yang lama, yakni bersegera membasuh anggota yang lain sebelum kering air pada anggota sebelumnya. Muwalat ini adalah wajib pada pandangan mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad. Adapun pada pandangan mazhab Imam Syafi’ie, muwalat ini disunatkan sahaja.

4. Tadlik; iaitu menggosok dengan melalukan tangan ke atas anggota-anggota wudhuk termasuklah menyelati (menggosok) celah-celah janggut dan celah-celah jari tangan dan kaki. Tadlik ini adalah wajib pada pandangan Imam Malik. Pada pandangan mazhab yang lain, ia sunat sahaja kecuali jika dikhuatiri tidak sampai air tanpa melakukannya, maka barulah wajib dilakukan.

5. Berkumur dan membasuh hidung; Berkumur dan membasuh hidung adalah wajib mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan muka di sisi mereka.

6. Menyapu telinga; ia adalah wajib pada pandangan mazhab Imam Ahmad kerana ia termasuk dalam kawasan kepala di sisi mereka.

7. Tertib; iaitu membasuh mengikut urutan yang ditetapkan bermula dengan niat, kemudian membasuh muka, seterusnya membasuh tanggan hingga siku, menyapu kepala dan diakhiri dengan membasuh kaki iaitu tanpa mendahulukan yang kemudian atau mengkemudiankan yang dahulu. Tertib ini adalah wajib atau rukun pada pandangan Imam Syafi’ie.

Apakah perbuatan-perbuatan lain yang disyari’atkan semasa mengambil wudhuk?

Selain dari perbuatan-perbuatan rukun di atas, perbuatan-perbuatan lain yang disyari’atkan (yakni yang disuruh supaya dilakukan walaupun atas nama sunat) semasa mengambil wudhuk ialah;
1. Menggosok gigi (bersiwak) sebelum mula mengambil wudhuk.
2. Membasuh kedua tangan hingga ke pergelangannya
3. Mendahulukan anggota kanan dari kiri
7. Menyapu keseluruhan kepala
8. Mengulangi basuhan tiga kali (kecuali kepala)
9. Menjimatkan air semasa mengambil wudhuk
10. Membasuh anggota wudhuk melebihi sedikit dari had wajib.
11. Membaca doa selepas selesai mengambil wudhuk.
12. Menunaikan solat dua rakaat selepas mengambil wudhuk.

Apakah hadis-hadis yang menjadi rujukan kepada sifat wudhuk Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-?

Antara hadis yang menjadi rujukan tentang sifat wudhuk Nabi ialah;

Pertama;

Abdullah bin Zaid r.a. tatkala menceritakan cara Nabi s.a.w. mengambil wudhuk, beliau meminta satu bekas air. Kemudian beliau menuangkan air dari bekas itu ke atas dua tangannya, lalu membasuh kedua-dua tangannya itu tiga kali. Kemudian ia mencelup tangannya ke dalam bekas air itu, lalu berkumur, menghisap air ke dalam hidung dan menghamburnya sebanyak tiga kali dengan tiga cebukan tangan. Kemudian ia mencelupkan lagi tangannya ke dalam air, lalu membasuh mukanya tiga kali. Kemudian mencelupkan lagi tangannya, lalu membasuh kedua-dua tangannya hingga ke siku sebanyak dua kali. Kemudian ia mencelup dua tangannya, lalu menyapu dengan kedua-dua tangannya itu akan kepalanya iaitu dengan meletakkan kedua-dua tangannya di hadapan dan menolaknya ke belakang sebanyak sekali sahaja. Kemudian ia membasuh kedua-dua kakinya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Kedua;

Humran menceritakan bahawa ia melihat ‘Usman bin ‘Affan r.a. meminta sebekas air untuk berwudhuk, lalu ia menuang air ke atas kedua-dua tangannya dan membasuh kedua-dua tangannya itu tiga kali. Kemudian ia mencelup tangan kanannya ke dalam air wudhuk itu, kemudian ia berkumur, menyedut air ke hidung dan menghamburnya. Kemudian ia membasuh mukanya sebanyak tiga kali dan membasuh kedua tangannya hingga ke dua siku tiga kali juga. Kemudian ia menyapu kepalanya. Kemudian ia membasuh kedua-dua kakinya tiga kali. Kemudian (setelah selesai mengambil wudhuk) ia berkata; ‘Aku telah melihat Nabi s.a.w. mengambil wudhuk seumpama wudhuk aku ini dan baginda bersabda; ‘Sesiapa mengambil wudhuk seumpama wudhuk aku ini, kemudian ia mengerjakan solat dua rakaat di mana dalam solat dua rakaat itu dia tidak berkata-kata kepada dirinya (dengan sesuatu dari urusan duniawi), nescaya Allah akan mengurniakan keampunan untuknya terhadap apa yang telah lalu dari dosa-dosanya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan ad-Darimi)

Ketiga

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk di mana baginda mencebuk satu cebukan dengan tangan lalu berkumur dan berstinsyaq (yakni membasuh hidung), kemudian baginda mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh muka, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kanannya (hingga ke siku), kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kirinya (hingga ke siku), kemudian baginda menyapu kepalanya dan dua telinganya; telinga dalam dengan kedua jari telunjuknya dan telinga luar dengan dua ibu jarinya, kemudian baginda mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kanannya, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kirinya”. (Riwayat Imam an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

Keempat

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; ‘Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk sekali sekali’ (Riwayat al-Hakim, at-Tirmizi dan Ahmad. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis yang serupa diriwayatkan juga dari Umar, Jabir, Buraidah, Abi Rafi’ dan Ibnul-Fakih. Namun hadis dari Ibnu ‘Abbas adalah paling baik dan paling soheh. (Sunan at-Tirmizi, abwab at-toharah)).

Abdullah bin Zaid r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk dua dua kali”. (Riwayat Imam Bukhari dan Ahmad) Saidina ‘Usman r.a menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk tiga-tiga kali”. (Riwayat Imam Muslim dan Ahmad)

‘Amru bin Syu’aib meriwayatkan dari bapanya (Syu’aib bin ‘Abdullah) yang meriwayatkan dari datuknya (iaitu ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a.), menceritakan; “Seorang ‘Arabi (Arab pendalaman) telah datang kepada Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang wudhuk. Maka Nabi s.a.w. memperlihatkan kepadanya (cara berwudhuk) tiga-tiga kali. Kemudian baginda bersabda; ‘Inilah cara sepatutnya mengambil wudhuk. Sesiapa yang menambah (dari bilangan tersebut) sesungguhnya ia melakukan kesalahan, melampau dan berlaku zalim”.
(Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar; hadis ini telah diriwayatkan dari jalan-jalan periwayatan yang soheh. Ia telah disahkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lainnya. (Lihat; Nailul-Autar, Kitab at-Toharah, bab al-wudhu’ marratan au marratain au tsalatsan…))

Kelima

Abu Hurairah r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila kamu mengambil wudhuk, maka mulailah dengan sebelah kanan kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dengan sanad yang soheh)

Dari Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyukai bermula dengan sebelah kanan dalam semua urusannya; ketika memakai dua kasut/sepatu, mensisir rambut dan bersuci”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Bagaimana cara berniat untuk mengambil wudhuk?

Iaitu dengan menghadirkan di dalam hati tatkala memulakan wudhuk (iaitu semasa membaca Bismillah atau semasa mula membasuh tangan) niat untuk mengambil wudhuk atau niat untuk menghilangkan hadas kecil. Yang dikatakan niat ialah; gerak hati kita tatkala kita melakukan sesuatu. Niat yang wajib kita hadirkan ialah di dalam hati. Adapun melafazkan dengan lidah, ia sunat sahaja di dalam mazhab Syafi’ie sendiri, tidak wajib. Malah ada ulamak yang tidak membenarkan niat dilafazkan dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi atau para sahabat.

Adakah wajib meratakan air ke seluruh anggota wudhuk?

Ya. Terdapat hadis menceritakan; “Seorang lelaki mengambil wudhuk, lalu ia membiarkan di kakinya tempat sebesar kuku (tidak dibasahi air) dan dilihat oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Maka baginda berkata kepadanya; “Kembali dan perelokkanlah wudhuk kamu”. Maka ia pun kembali (ke tempat wudhuk untuk memperelokkan wudhuknya), kemudian ia mengerjakan solat” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu-).

Menurut Imam an-Nawawi, hadis di atas menunjukkan bahawa sesiapa mengabai atau meninggalkan walaupun bahagian yang kecil dari kawasan yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka wudhuknya tidak sah sekalipun ia jahil. (Syarh Soheh Muslim, 3/134-135).

Bagaimana cara membasuh hidung yang sempurna?

Cara membasuh hidung yang sempurna ialah dengan menggabungkan antara Istinsyaq dan Istinsar sebagaimana dalam hadis Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Al-Istinsyaq bermaksud menghisap air ke dalam hidung, sementara al-Istinsar pula ialah menghambusnya keluar. Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan bahawa Nabi bersabda: “Apabila seseorang dari kamu mengambil wudhuk, maka masukkanlah air ke dalam hidungnya, kemudian hendaklah ia menghambuskannya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai). Basuhan hidung ini sunat diulangi dua atau tiga kali juga.

Adakah berkumur dan membasuh hidung sunat dilakukan dengan satu cebukan yang sama atau bersaingan?

Sunat berkumur dan membasuh hidung dilakukan dengan cebukan yang sama. Cebukkan air dengan tangan; gunakan sebahagian untuk berkumur dan sebahagian lagi untuk membasuh hidung. Kaifiyat inilah yang dilakukan oleh Nabi. Abdullah bin Zaid –radhiyallahu ‘anhu- (seorang sahabat) tatkala menceritakan sifat wudhuk Nabi, beliau mengambil air dari bekas air, lalu berkumur, menghisap air ke dalam hidung dan menghamburnya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali dengan tiga cebukan tangan (yakni setiap cebukan; sebahagian untuk berkumur dan sebahagian untuk membasuh hidung). (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Apakah batasan kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk?

Had atau batasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk ialah; (secara menegak) bermula dari tempat mula tumbuhnya rambut (iaitu sempadan antara muka dan kepala) hingga ke dagu dan (secara melebar) dari telinga ke telinga. Wajib diratakan air hingga meliputi seluruh kawasan tersebut. Lelaki yang berjanggut hendaklah menggosok-gosok janggutnya agar air dapat sampai ke kulit di bawahnya. Menurut Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu-; “Sesungguhnya Nabi apabila mengambil wudhuk, baginda mengambil secebuk air dengan tangannya, lalu memasukkanya ke bawah dagunya, lalu menyelati (menggosok-gosok di celah-celah) janggutnya dengan air itu. Kemudian baginda bersabda; “Beginilah Tuhanku menyuruhku” (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim). Basuhan muka ini juga sunat diulang dua atau tiga kali juga.

Bagaimana cara menyapu kepala yang sempurna?

Cara yang sempurna ialah dengan meliputi keseluruhan kepala mengikut kaifiyat dalam hadis Nabi iaitu; membasahkan kedua tangan dengan air, kemudian meletaknya di bahagian depan kepala dan seterusnya menolaknya ke belakang hingga ke tengkuk. Kemudian menolak semula kedua-dua tangan itu kembali ke tempat mulanya (yakni depan kepala). Abdullah bin Zaid –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “(Ketika menyapu kepala) Nabi memulakan dengan bahagian depan kepalanya (yakni dengan meletakkan kedua-dua tangannya di bahagian depan kepalanya dan) menolaknya hingga ke tengkuknya. Kemudian ia menolak semula kedua-dua tangannya hingga kembali ke tempat mulanya” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu Majah, at-Tirmizi, an-Nasai dan Abu Daud).

Adakah menyapu telinga disunatkan dengan air yang baru atau dengan air baki sapuan kepala?

Dua telinga menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad termasuk dalam batasan kepala. Maka menurut mereka; dua telinga sunat disapu bersama dengan menyapu kepala (yakni menggunakan air yang sama untuk sapuan kepala, bukan air yang baru). Dalil mereka ialah hadis dari Abu Umamah al-Bahili –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi bersabda; “Dua telinga itu termasuk dari kepala” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Namun menurut Imam Syafi’ie, dua telinga tidak termasuk dalam kepala. Oleh itu, ia hendaklah disapu dengan air yang baru, bukan dengan air yang sama untuk sapuan kepala. Dalil beliau ialah hadis Abdullah bin Zaid al-Ansari yang menceritakan; “Aku telah melihat Nabi mengambil wudhuk di mana baginda mengambil air baru untuk menyapu dua telinganya, bukan air yang digunakan untuk menyapu kepalanya” (Riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi). Menurut Imam Syafi’ie, sapuan telinga juga sunat diulangi tiga kali.

Anggota-anggota wudhuk yang manakah yang sunat dilebihkan basuhannya dari had yang wajib semasa mengambil wudhuk?

Iaitulah muka, tangan hingga siku dan kaki. Tiga anggota wudhuk ini sunat dilebihkan sedikit basuhannya dari had yang wajib untuk memanjangkan nur pada anggota tersebut di akhirat kelak. Ini sebagaimana sabda Nabi; “Sesungguhnya umatku akan diseru pada hari kiamat dan mereka akan datang dengan wajah, tangan dan kaki mereka cemerlang bercahaya dari bekas wudhuk. Maka sesiapa dari kalangan kamu yang mampu untuk memanjangkan cahayanya, maka lakukanlah”. (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Perhiasan pada diri seorang mukmin (pada hari kiamat) akan sampai sehingga tempat sampai wudhuknya” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Maksud hadis ialah; kelak di akhirat anggota-anggota wudhuk orang mukmin akan diberi penuh perhiasan di syurga.

Apakah hukum menggosok celah-celah jari tangan dan kaki ketika mengambil wudhuk?

Menurut Imam Malik dan al-Muzani; wajib menggosok celah-celah jari tangan dan kaki semasa mengambil wudhuk. Mereka berdalikan hadis dari Laqidh bin Shabrah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Aku telah bertanya kepada Rasulullah; “Ya Rasulullah! Beritahu kepadaku tentang wudhuk”. Baginda bersabda; “Sempurnakanlah wudhuk, selatilah (yakni gosoklah) di antara celah-celah jari (tangan dan kaki) dan bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq (membasuh hidung) kecuali jika kamu berpuasa” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi). Begitu juga hadis dari al-Mustaurid bin Syaddad al-Fihri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Nabi sapabila mengambil wudhuk baginda menggosok celah-celah jari kedua kakinya dengan jari kelingkingnya” Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Namun menurut mazhab Syafi’ie, menggosok celah-celah jari tangan dan kaki adalah sunat sahaja. Ia tidak wajib kecuali ke atas orang yang mempunyai jari-jari kaki yang rapat-rapat di mana jika tidak digosok nescaya air tidak akan sampai ke celah-celah jari kakinya itu.

Adakah semua anggota wudhuk sunat diulangi basuhan dua atau tiga kali?

Ya, semua anggota wudhuk sunat diulangi basuhannya dua atau tiga kali kecuali sapuan kepala sahaja di mana terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut Imam Syafi’ie, menyapu kepala sama seperti anggota wudhuk yang lain iaitu sunat diulangi tiga kali. Beliau berdalilkan hadis Saidina Usman di mana beliau menceritakan; “Sesungguhnya Nabi mengambil wudhuk tiga-tiga kali” (Riwayat Imam Muslim dan Ahmad).

Kedua; menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; menyapu kepala disunatkan sekali sahaja, yakni tidak sunat mengulanginya dua atau tiga kali. Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali yang menegaskan; “Nabi menyapu kepalanya sekali sahaja” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai). Selain itu menurut mereka; hadis-hadis tentang sifat wudhuk semuanya menceritakan bahawa Nabi menyapu kepala sekali sahaja.

Apakah doa yang sunat dibaca apabila selesai mengambil wudhuk?

Sebaik sahaja selesai mengambil wudhuk, disunatkan membaca doa yang terdapat dalam hadis iaitu;

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إلاَّ اللّهُ وَأَنَّ مُحمَّداً عَبْدُ اللّهِ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ
“Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan RasulNya. Ya Allah! Jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang bersuci”.
(Berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Umar bin al-Khattab)

Apakah fadhilat solat sunat dua rakaat selepas wudhuk?

Sabda Nabi; “Sesiapa mengambil wudhuk dengan menyempurnakan wudhuknya, setelah itu ia lakukan solat dua rakaat dengan menumpukan hati dan wajah kepada solat dua rakaat itu, nescaya wajiblah untuknya syurga (dari Allah)”. (Riwayat Imam Abu Daud dari ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani r.a.).

Adakah solat sunat wudhuk harus dilakukan bila-bila masa?

Ya, solat sunat wudhuk harus ditunaikan bila-bila masa termasuklah dalam waktu-waktu tegahan kerana ia adalah solat bersebab. Jika selepas mengambil wudhuk seseorang itu tidak menunaikan solat sunat wudhuk tetapi menunaikan solat fardhu atau solat sunat yang lain, ia masih mendapat fadhilat solat selepas wudhuk tersebut. Kedudukannya sama seperti solat sunat tahiyyatul-masjid.

Bagaimana yang dikatakan pembaziran ketika mengambil wudhuk?

Pembaziran berlaku sama ada dalam penggunaan air (yakni menggunakan air secara berlebih-lebihan) atau menambahkan bilangan basuhan melebihi kadar maksima yang disunatkan iaitu tiga kali. Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa membasuh melebihi tiga kali sesungguhnya ia melakukan kesalahan dan melampau batas”. (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah).

Jika mengambil wudhuk melalui tadahan air paip, seelok-eloknya kecilkan bukaan paip untuk mengelak air berlebihan ketika mengambil wudhuk. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan melalui Sa’ad r.a. yang sedang mengambil wudhuk (dengan menggunakan air yang banyak). Lalu baginda berkata kepadanya; “Pembaziran apakah ini wahai Sa’ad?”. Lalu Sa’ad menjawab; “Adakah dalam menggunakan air juga terdapat pembaziran?”. Rasulullah menjawab; “Ya! Sekalipun engkau berada di tepi sungai yang mengalir airnya”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

BERSUCI (MENYUCIKAN NAJIS)

Apa yang dimaksudkan najis?

Najis bermaksud kekotoran yang menghalang sahnya sembahyang, yakni; tidak sah sembahyang jika terdapat pada pakaian atau badan atau tempat sembahyang. Pada dasarnya, setiap benda yang ada di alam ini adalah suci dan tidak najis kecualilah perkara-perkara yang telah dinyatakan oleh Syara’ sebagai najis. Selagi tidak ada nas atau dalil Syara’ menjelaskan bahawa sesuatu itu najis, maka ia kekal dengan hukum asalnya iaitu suci dan bersih.

Apakah benda-benda yang dianggap najis oleh Syarak?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; empat benda disepakati oleh ulamak sebagai najis, iaitu;
1. Bangkai haiwan darat yang berdarah mengalir
2. Daging babi
3. Darah dari haiwan darat jika ia mengalir, yakni banyak.
4. Air kencing manusia dan tahinya.

Selain dari empat di atas (seperti; arak, tahi binatang, muntah dan sebagainya lagi) di kalangan ulamak terdapat beza pandangan; ada yang menganggapnya najis dan ada yang tidak.[1] Menurut Imam asy-Syaukani; perkara-perkara yang ada dalil Syarak menyebutnya sebagai najis ialah;
1. Tahi dan air kencing manusia
2. Air liur anjing
3. Tahi binatang (khusus kepada tahi kuda, baghal dan kaldai sahaja menurut beliau)
4. Darah haid (lain dari darah haid (iaitu darah biasa) tidak najis menurut beliau).
5. Daging babi

Hanya lima di atas sahaja –menurut Imam Syaukani- yang mempunyai dalil yang jelas dari Syarak tentang kenajisannya. Selain darinya adalah khilaf di kalangan ulamak”.[2]

Adapun dalam mazhab Syafi’ie, ada 13 perkara yang diputuskan sebagai najis berdasarkan ijtihad ulamak-ulamak mazhab, iaitu;
1. Anjing; semua juzuk di badan anjing adalah najis.
2. Babi; semua juzuk di badan babi adalah najis.
3. Air kencing; semua jenis air kencing adalah najis sama ada dari manusia atau haiwan.
4. Tahi; semua jenis tahi adalah najis sama ada tahi manusia atau haiwan.
5. Air mazi; iaitu cecair nipis berwarna kekuningan yang keluar dari kemaluan ketika naik syahwat.
6. Air madi; iaitu cecair kental berwarna putih yang keluar dari kemaluan selepas kencing atau selepas keletihan.
7. Arak dan semua minuman yang memabukkan seperti tuak dan seumpamanya.
8. Bangkai/mayat; kecuali mayat manusia, bangkai haiwan laut (ikan dan sebagainya) dan belalang.
9. Darah; semua jenis darah adalah najis sama ada darah manusia atau haiwan.
10. Nanah
11. Anggota yang terpisah dari haiwan ketika masih hidupnya; kecuali bulu binatang yang halal dimakan seperti bulu biri-biri, bulu ayam dan sebagainya.
12. Susu binatang yang tidak halal dimakan dagingnya.
13. Muntah

Apakah kaifiyat bersuci dari najis yang ditetapkan oleh Syarak?

1. Bersuci dengan menggunakan air
2. Bersuci dengan air bercampur tanah
3. Bersuci dengan benda-benda kesat
4. Bersuci dengan menggosok ke tanah

Bagaimana caranya bersuci dengan air?

Menggunakan air adalah cara asal dalam bersuci. Tidak harus berpaling dari menggunakan air dalam bersuci kecuali dengan keizinan dari Syarak. Adapun cara bersuci dengan air ialah;
Pertama; Buang najis terlebih dahulu,
Kedua; Basuh tempat yang terkena najis itu dengan air hingga hilang sifat-sifatnya iaitu warnanya, baunya dan rasanya. Jika sekali basuhan telah dapat menghilangkannya, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Jika tidak, wajib diulangi lagi basuhan termasuk dengan menggosok-gosoknya atau melakukan seumpamanya. Setelah dibasuh berulang kali, namun warna najis masih tidak tanggal atau baunya masih tidak hilang, ketika itu dimaafkan, yakni basuhan dianggap sempurna dan tidak perlu diulangi lagi.

Dikecualikan jika najis itu ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan belum menikmati sebarang makanan kecuali susu ibunya, maka memadai dengan merenjis air hingga meratai kawasan yang terkena air kencing itu, kemudian dibiarkan kering. Tidak perlu membasuhnya atau mengalirkan air ke atasnya. Ummu Qais binti Mihsan –radhiyallahu ‘anha-. Menceritakan; “Beliau membawa seorang bayi lelaki yang belum memakan sebarang makanan kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-, tiba-tiba bayi itu kencing di atas pakaian baginda. Baginda meminta air, lalu merenjis pakaiannya dan baginda tidak membasuhnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Apakah najis yang perlu dibasuh menggunakan air bercampur tanah? Bagaimana caranya?

Iaitu najis anjing kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Apabila bekas kamu dijilat oleh anjing, hendaklah kamu membasuhnya tujuh kali; kali pertama dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim). Caranya ialah;

Pertama; Buang najis terlebih dahulu
Kedua; Basuh tempat yang terkena najis anjing itu dengan air yang bercampur tanah (sekali sahaja).
Ketiga; Bilas dengan air biasa sebanyak enam kali.

Oleh kerana cara membasuh najis anjing di atas lebih berat berbanding cara membasuh najis-najis yang lain, maka kerana itu najis anjing dinamakan ulamak dengan najis mughallazah (najis berat).

Adakah najis babi juga mesti di basuh dengan air bercampur tanah?

Ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang babi; adakah ia termasuk dalam najis berat (mughalladzah) sebagaimana anjing di atas, atau ia hanya terdiri dari najis biasa (seperti arak, air kencing, tahi dan sebagainya) yang mencukupi dibasuh dengan air seperti biasa? Ada dua pandangan;

Pertama; Jumhur ulamak berpandangan; babi sama seperti najis-najis yang lain, iaitu mencukupi dibasuh seperti biasa hingga hilang kesan-kesannya. Tidak perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tidak perlu menggunakan tanah. Mengikut pandangan jumhur ulamak, najis berat hanya satu sahaja iaitu anjing. Dalil mereka ialah sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila anjing menjilat bekas salah seseorang dari kamu, cara menyucinya ialah dengan ia membasuhnya sebanyak tujuh kali, kali pertamanya dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Di dalam hadis ini, Nabi hanya menyebut anjing sahaja, tidak menyebutkan najis yang lain termasuk babi.

Kedua; mengikut mazhab Syafi’ie; babi sama seperti anjing, oleh itu ia mesti dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan mesti dengan air bercampur tanah. Dalil mereka ialah dengan mengkiaskannya kepada anjing kerana babi lebih buruk keadaannya dari anjing di mana pengharaman memakannya adalah sabit dengan nas al-Quran, adapun pengharaman memakan anjing hanya sabit dengan ijtihad.

Adakah harus tanah digantikan dengan sabun atau bahan pencuci lain?

Bagi masalah ini juga ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; tidak harus kerana cucian dengan tanah itu adalah arahan Syarak. Halnya sama seperti tayammum yang diarahkan oleh Syarak menggunakan tanah, maka tidak harus dialihkan kepada yang lain. Arahan menggunakan tanah itu bersifat ibadah, oleh itu tidak harus dinilai berdasarkan akal atau logik. Ini adalah pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie.

Pandangan kedua; harus tanah itu digantikan dengan sabun kerana penggunaan sabun lebih berkesan dari tanah dalam menghilangkan najis. Nabi menyebutkan tanah dalam hadis tadi bukan bertujuan membataskannya kepada tanah, tetapi untuk menegaskan perlunya penyucian najis berat itu dibantu dengan bahan lain di samping air. Masalah ini ada persamaannya dengan istinjak di mana selain dengan air, Nabi juga mengharuskan istinjak dengan batu. Menurut ulamak; walaupun nabi hanya menyebutkan batu, namun dikiaskan kepadanya bahan-bahan lain yang bersifat kesat dan berupaya menanggalkan najis seperti kertas, tisu kesat dan sebagainya. Nabi menyebut batu bukanlah bertujuan membataskannya kepada batu, tetapi untuk menjelaskan keharusan beristinjak dengan batu atau bahan-bahan lain yang mempunyai sifat yang sama. Ini adalah pandangan jumhur ulamak mazhab Hanbali.

Pandangan ketiga; Dalam keadaan terdapat tanah, wajiblah basuhan menggunakan tanah dan tidak harus berpindah kepada bahan yang lain sama ada sabun atau sebagainya. Jika tidak ada tanah, barulah harus menggunakan bahan yang lain menggantikan tanah. Ini adalah pandangan Abu Hamid (salah seorang ulamak mazhab Hanbali).

Apakah yang dimaksudkan dengan benda-benda kesat? Bilakah harus bersuci dengannya?

Benda-benda kesat adalah seperti batu, kertas atau tisu yang kesat, kayu dan sebagainya. Benda-benda kesat ini harus digunakan untuk beristinjak iaitu membersihkan najis di kemaluan setelah kencing atau berak. Telah sabit di dalam hadis bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam- menggunakan batu untuk beristinjak. Maka dikiaskan kepadanya segala benda yang kesat yang dapat menanggalkan najis dari dua saluran tersebut.

Apa syarat beristinjak dengan benda kesat?

Paling baik ialah berinstinjak dengan air kerana ia lebih menyucikan. Diharuskan beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja sekalipun terdapat air, tetapi hendaklah dengan memenuhi syarat-syarat di bawah;

1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan. Tidak harus kurang dari tiga kali sapuan sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Salman –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Nabi menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai). Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).

2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.

3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.

4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh menanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.

5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Sabda Nabi; “Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Bagaimana yang dikatakan bersuci dengan menggosok ke tanah?

Iaitu cara bersuci yang disebut oleh Nabi di dalam hadisnya; “Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua sepatunya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian tunaikan solat dengan memakai sepatunya itu”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Said al-Khudri r.a.).

Berdalilkan hadis ini, sebahagian ulamak –antaranya Imam Abu Hanifah- menegaskan; “Kasut atau sepatu yang terkena najis –sama ada kering atau basah- memadai menyucinya dengan menggosoknya ke tanah hingga hilang kesan najis pada kasut tersebut”.

Bagaimana cara menyucikan tanah yang dikenai najis?

Tanah yang terkena najis, cara menyucinya ialah;
Pertama; hendaklah dibuang terlebih dahulu najis jika kelihatan.
Kedua; setelah dibuang najis, curahkan sebaldi air ke atas tanah yang terkena najis itu dan biarkan ia kering. Abu Hurairah r.a. telah menceritakan; “Seorang lelaki dari pedalaman datang ke masjid Nabi s.a.w.. Tiba-tiba ia bangun dan kencing di satu penjuru masjid. Lalu Nabi s.a.w. berkata; “’Curahkan sebaldi air ke atas tempat yang terkena air kencingnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Jika seseorang itu selepas mengerjakan solat, ia ternampak najis di pakaiannya; adakah wajib ia mengulangi solatnya?

Para ulamak berbeza pandangan dalam masalah ini;

1. Ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- menegaskan; batal solatnya dan wajib diulangi kerana ia menunaikan solat dalam keadaan tidak memenuhi syarat sahnya iaitu bersuci. Adapun sangkaannya semasa sedang solat –bahawa ia bersih dari najis-, maka sangkaan itu tidak dikira kerana telah terbukti salah. Kaedah Fiqh menyebutkan; “Tidak diambil kira sangkaan yag telah ternyata salahnya”.

2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; tidak batal solatnya jika najis itu sedikit. Jika najis itu banyak, batallah solat dan wajib diulangi semula.

3. Ada ulamak berpandangan; tidak batal solatnya secara keseluruhannya sama ada najis itu sedikit atau banyak. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari kami mengerjakan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Ditengah solat, Nabi menanggalkan dua kasutnya dan meletaknya di sebelah kirinya. Melihat berbuatan Nabi itu, kami pun turut melakukannya. Selesai solat, Nabi bertanya; “Kenapa kamu semua menanggalkan kasut?”. Kami menjawab; “Kami melihat kamu melakukannya, maka kami pun turut melakukannya”. Nabi berkata; “Di tengah solat tadi, Jibril datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat najis/kekotoran, maka kerana itulah aku menanggalkannya. Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua kasutnya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian bolehlah ia menunaikan solat dengan memakai kasutnya itu” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Berkata Imam al-Khattabi; hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa menunaikan solat sedang di pakaiannya terdapat najis yang tidak diketahuinya, maka solatnya adalah sah dan tidak perlu ia mengulanginya”. [3] Selain Imam al-Khattabi, ulamak yang berpandangan serupa ialah Imam Ibnu Taimiyyah. Di dalam al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan; “Sesiapa menunaikan solat dengan ada najis (di pakainnya) kerana lupa atau tidak tahu, tidak perlu ia ulangi solatnya”.[4]

Nota Kaki

[1] Bidayatul-Mujtahid (1/101).
[2] Ad-Darari al-Madhiyyah, halaman 18.
[3] Bidayatul-Mujtahid (1/100).
[4] Al-Fatawa al-Kubra (5/327).

BERSUCI (CARA BERSUCI ORANG LUKA DAN BERBALUT)

BERSUCI (CARA BERSUCI ORANG LUKA DAN BERBALUT)

1. Jika seseorang itu luka, bagaimana caranya untuk ia bersuci?

Orang yang sakit atau luka, jika ia dapat membasuh atau memandikan dengan air sebahagian anggotanya, maka bahagian itu wajib dibasuh dengan air ketika ia mengambil wudhuk atau mandi. Adapun kawasan yang tidak dapat dibasuh dengan air –kerana takut membawa kerosakan atau mudarat- hendaklah diganti dengan tayammum (yakni dengan menyapu debu ke muka dan tangan). Ini adalah pandangan Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie.

Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; toharah adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak wajib menggabungkan keduanya. Oleh demikian, menurut pandangan kedua ini; jika kebanyakan badan adalah elok dan dapat dibasuh dengan air, memadai dengan membasuh kawasan yang elok/sihat itu dan tidak perlu kepada tayammum. Dan kalau kebanyakan badan adalah sakit/luka, cukup dengan tayammum sahaja, tidak perlu lagi wudhuk atau mandi.

2. Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wudhuk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wudhuk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wudhuk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wudhuknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wudhuk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wudhuk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wudhuk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wudhuk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wudhuk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wudhuk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.

BERSUCI (HADAS)

Apa maksud hadas?

Hadas ialah kekokotoran maknawi pada diri yang menegah sahnya ibadah yang disyaratkan bersuci iaitu solat, tawaf dan sebagainya. Orang berhadas tidak bersih di sisi Allah sekalipun di sisi manusia kelihatan bersih. Kerana itu, orang yang berhadas wajib menyucikan dirinya mengikut cara yang ditetapkan Syarak sebelum mengadap Allah melalui ibadah-ibadah tadi.

Berapa jenis hadas? Apa cara menyucikannya?

Hadas ada dua jenis, iaitu;
1. Hadas kecil
2. Hadas besar

Cara menyucikan hadas kecil ialah dengan mengambil wudhuk. Adapun cara menyucikan hadas besar ialah dengan mandi. Jika kedua-duanya tidak dapat dilakukan kerana sakit, ketiadaan air atau sebagainya, hendaklah diganti dengan tayammum. Kesimpulannya, cara menyucikan hadas yang ditetapkan oleh Syarak ada tiga, iaitu;
1. Wudhuk; untuk menyucikan hadas kecil
2. Mandi; untuk menyucikan hadas besar
3. Tayammum; gantian kepada wudhuk atau mandi